Laporan pemerdagangan orang:  Beri harapan baharu kepada mangsa

Laporan pemerdagangan orang:  Beri harapan baharu kepada mangsa

EFFENDY ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan Malaysia ke Tahap 2 dalam Laporan Pemantauan Pemerdagangan Orang bukan sahaja meningkatkan imej negara tetapi memberi harapan baru kepada mangsa jenayah tersebut.

Presiden Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, peningkatan tersebut adalah hasil daripada beberapa Langkah signifikan yang diambil kerajaan dan pelbagai pihak lain.

Menurut  beliau, kempen kesedaran dan pendidikan awam yang berterusan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai bahaya dan tanda-tanda pemerdagangan orang juga membuahkan hasil.

Kata Effendy, langkah-langkah diambil tersebut  menunjukkan komitmen negara dalam menangani isu pemerdagangan orang dengan lebih serius.

“Kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa usaha kolektif daripada pelbagai agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan, dan masyarakat umum yang terus bekerjasama dalam usaha ini.

“Peningkatan ini bukan sahaja meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa tetapi juga memberikan harapan baru kepada mangsa pemerdagangan orang di Malaysia.

“Semoga usaha ini terus diperkukuhkan dan membawa kepada kemajuan yang lebih besar dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Malaysia kini berada pada senarai Tahap 2 dan kedudukan itu disifatkan amat strategik kerana kali terakhir Malaysia berada pada tahap sama  pada 2017.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, peningkatan tersebut sebahagiannya disebabkan oleh kejayaan pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional Anti Pemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0).

Jelasnya, pelan tersebut membawa kepada beberapa perkembangan positif yang diiktiraf oleh komuniti antarabangsa termasuk Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Penyertaan dalam inisiatif serantau yang memfokuskan kepada pemantauan dan perkongsian maklumat mengenai pemerdagangan orang.

“Secara keseluruhannya, NAPTIP 3.0 telah memberikan rangka kerja yang kuat dan strategi yang berkesan untuk menangani pemerdagangan orang di Malaysia, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan tahap negara dalam laporan Pemantauan Pemerdagangan Orang,” katanya.

Tambahnya, MTUC akan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan semua pekerja dalam negara sama ada pekerja tempatan atau asing akan sentiasa dilindungi termasuk hak asasi pekerja dan kebajikan pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN