MTUC gesa majikan tawar gaji lebih bermaruah

MTUC gesa majikan tawar gaji lebih bermaruah

Majikan didakwa lebih suka mengambil pekerja asing kerana kadar gaji mereka yang lebih rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar mewujudkan mekanisme kawalan gaji yang mengambil kira tahap pendidikan seseorang pekerja bagi memastikan setiap syarikat menawarkan gaji yang ‘bermaruah’ dan tidak berlakunya penindasan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, negara mempunyai banyak peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap pendidikan namun kadar gajinya rendah.

Keadaan itu katanya, menyebabkan kebanyakan graduan terpaksa ‘merantau’ ke negara luar bagi mendapatkan kadar gaji yang lebih baik untuk menampung kos harian dan komitmen kehidupan.

“Malaysia sudah sepatutnya bergerak ke arah gaji yang lebih bermaruah, kita juga perlu ada mekanisme pengawalan gaji kerana terdapat diskriminasi terhadap pekerja di dalam dua syarikat berbeza apabila gaji ditawarkan tidak sama.

“Jika perkara ini tidak ditangani, kita akan mengalami ‘brain drain’ kerana graduan akan memilih bekerja di luar negara dan bagi yang bersekolah pula akan beranggapan negara tiada peluang pekerjaan sehingga mereka enggan mendapatkan tahap pendidikan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Effendy berkata, dakwaan Malaysia tidak mempunyai peluang pekerjaan adalah tidak benar kerana ramai warga asing yang bekerja di negara ini.

Jelasnya, jika dahulu pengambilan pekerja asing adalah bagi memenuhi sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) di dalam negara tetapi kini kumpulan tersebut sudah memenuhi pelbagai sektor lain seperti perkhidmatan.

“Dengan adanya pengambilan pekerja asing, kami berpendapat itulah keberadaan peluang pekerjaan di Malaysia cumanya tawaran gaji itu tidak kompetitif sehinggakan rakyat tidak mahu dan mencari tawaran lebih baik.

“Majikan pula lebih gemar mengambil pekerja asing kerana boleh menawarkan gaji lebih rendah berbanding kos perlu ditanggung sekiranya mengambil pekerjaan tempatan, perkara ini sangat tidak sihat. Ia akan memberi kesan kepada pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN