Isu brain drain tidak selesai jika hanya ambil pekerja pengalaman

Isu brain drain tidak selesai jika hanya ambil pekerja berpengalaman

GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu lambakan pengangguran dan brain drain atau penghijrahan graduan ke luar negara tidak selesai jika majikan hanya mengutamakan pengambilan pekerja pengalaman.

Pada tahun lalu, jumlah pengangguran mencatatkan sebanyak 620,700 orang dan boleh meningkat jika masih berlaku sikap pilih bulu dengan mengabaikan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pekerja baharu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, malah situasi itu boleh menyebabkan berlakunya ketidaksepadanan kelulusan akademik dengan jenis pekerjaan khususnya setelah belia terpaksa mencari jenis kerjaya lain semata-mata untuk memperoleh mata pencarian.

Jelasnya, lama-kelamaan negara ini boleh kehilangan bakat baharu jika siswazah akhirnya terpaksa mengintai peluang pekerjaan di negara lain.

“Dalam usaha mencapai sasaran peningkatan kemahiran dan latihan semula, kita memerlukan bakat baharu dalam kalangan graduan universiti untuk diketengahkan sebagai pekerja termasuk tiada pengalaman. Tetapi jika kita masih menyekat peluang mereka, usaha ini akan gagal.

“Akhirnya kita kehilangan pelapis baharu, apabila ada majikan masih mengutamakan pekerja pengalaman sahaja. Maka wujudlah masalah ketidakseimbangan ketidaksepadanan kerjaya dengan kelayakan manakala masalah brain drain tidak berkesudahan hingga selama-lamanya,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan keluhan graduan yang menganggur gara-gara sikap majikan yang mengutamakan pekerja berpengalaman berbanding graduan baharu yang tiada pengalaman bekerja.

Mereka mendakwa, kebanyakan alasan diterima majikan adalah kerana kurang pengalaman kerja dalam bidang berkaitan.

Mohd. Effendy mencadangkan majikan atau syarikat menetapkan kuota pengambilan kerja antara tiada pengalaman dan berpengalaman agar wujud peluang sama rata serta keseimbangan antara dua kumpulan tersebut.

Katanya, perkara itu secara langsung dapat mengatasi masalah sikap pilih bulu dalam kalangan majikan sekali gus mewujudkan suasana harmoni di tempat kerja.

“Tetapi ada juga majikan utamakan graduan baharu kerana boleh memberi gaji rendah berbanding menawarkan lebih tinggi untuk pengalaman. Maka perkara ini dapat dielakkan jika wujud keseimbangan pengambilan pekerjan,” katanya.

Beliau menggesa mana-mana individu yang berasa wujud diskriminasi pengambilan pekerja melaporkan perkara itu kepada pihaknya atau Jabatan Tenaga Kerja dengan segera agar tindakan dapat diambil terhadap majikan yang berbuat demikian.

“Ini merupakan satu diskriminasi jika membezakan antara pekerja pengalaman dan graduan tiada pengalaman, sedangkan pengambilan perlu berdasarkan merit dan kelayakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN