PETALING JAYA: Pengurusan dana RM41.970 bilion melibatkan 11 kementerian dikesan mempunyai banyak kelemahan dalam melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti kerajaan.
Ia didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 menerusi sembilan pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Laporan yang dibentangkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu mendedahkan, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek kerajaan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi atau prosedur kerja.
Kelemahan itu menyebabkan program tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan.
LKAN mengemukakan 64 syor audit untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.
Antara isu signifikan yang dibangkitkan adalah melibatkan pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River Of Life (ROL), pengurusan Program Pemerkasaan Jaringan dan Infrastruktur Telekomunikasi Jalur Lebar dan pengurusan projek serta program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, kerajaan telah mendapat bayaran balik antaranya tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD) yang dianggar berjumlah RM100 juta sehingga suku kedua 2024 susulan audit dibuat sebelum ini.
Katanya, perkara itu menunjukkan pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara (JAN) secara dasarnya memberi impak positif melalui tindakan pembetulan dan penambahbaikan dilaksanakan kerajaan sebaik sahaja teguran audit diterima.
“Susulan audit terhadap LKAN 2020, 2021 dan 2022 melalui Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AG’s Dashboard AGD), didapati kerajaan telah mendapat bayaran balik antaranya tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD) yang dianggar berjumlah RM100 juta sehingga suku kedua 2024,” katanya.
Sementara itu, JAN berpendapat, projek ROL tidak dapat disiapkan tahun ini kerana sehingga Julai 2023, 12 projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan manakala kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.
LKAN mendedahkan, sehingga Disember 2023, RM3.915 bilion dibelanjakan daripada RM4.363 bilion yang diperuntukkan atau sekitar 89.7 peratus dan lebih mengejutkan, kelewatan menyiapkan tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan menyebabkan peningkatan kos dianggarkan sehingga RM234.72 juta.
Menurut laporan itu lagi, semua objektif ROL belum berjaya dicapai terutama meningkatkan kualiti air sungai ke tahap kelas IIB atau yang sesuai disentuh bagi tujuan rekreasi.
Dalam pada itu, laporan mendedahkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar melalui peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.
Hal ini kerana sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.
Selain itu, terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan.
Mengenai pengurusan projek dan program di bawah ECER, LKAN memaklumkan 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.
“Selain itu, terdapat infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011,” katanya.
LKAN juga mendedahkan berhubung Majlis Profesor Negara (MPN) yang didapati tidak mencapai objektif penubuhannya di samping kerajaan tiada kawalan terhadap badan tersebut.
Menurut laporan, dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) didapati tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat 2016 [Akta 777].
Selain itu, berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516 dan audit juga mendapati pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri dipertanggungjawabkan.
Menyentuh prestasi syarikat berkaitan kerajaan iaitu Mara Inc., LKAN memaklumkan kerugian terkumpul dialami entiti berjumlah RM286.30 juta di samping defisit pegangan saham Mara Inc. adalah berjumlah RM115.73 juta dan liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada 2022.
“Pelaksanaan aktiviti kurang cekap sehingga menyebabkan kedudukan kerugian terkumpul sebanyak RM286.30 juta. Tunggakan pinjaman pula memberi impak kepada kedudukan liabiliti semasa bersih. Keadaan ini menyebabkan Mara Inc tidak berupaya membayar dividen kepada pemegang saham sejak 2014,” kata laporan itu. – UTUSAN









