Konsep PBS 2.0 pastikan parti kekal relevan

Konsep PBS 2.0 pastikan parti kekal relevan

JONISTON Bangkuai semasa Seminar Politik Anak Muda PBS di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sayap Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu menerajui usaha merangka strategi yang praktikal dalam memastikan usaha meremajakan parti dapat dilaksanakan.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, sudah tiba masanya parti itu mempertimbangkan konsep PBS 2.0 sebagai usaha untuk benar-benar meremajakan parti supaya kekal relevan dalam landskap politik Sabah.

Beliau berkata, strategi yang lebih praktikal perlu dilaksanakan bagi memastikan PBS tidak ketinggalan dan mampu bergerak ke hadapan dalam amalan politik yang inovatif.

“Saya mencadangkan sayap Pemuda PBS menerajui usaha merangka strategi yang praktikal serta boleh dilaksanakan dengan objektif dan sasaran yang boleh dicapai dalam proses meremajakan parti.

“Sebagai pemimpin masa depan PBS, ahli sayap pemuda parti wajar berada di barisan hadapan dalam usaha mengukuhkan lagi parti dan menarik lebih ramai ahli, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya semasa Seminar Politik Anak Muda PBS, di sini semalam.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, konsep PBS 2.0 harus mewakili komitmen ahli terhadap pemodenan, keterangkuman, dan inovasi, sejajar dengan keperluan dan kepimpinan semasa.

Katanya, inisiatif tersebut harus merangkumi strategi digital yang komprehensif, pemodenan strategi kempen, pemerkasaan belia dan wanita, dan yang paling penting, penglibatan generasi pengundi baharu.

“Saya melihat PBS 2.0 sebagai langkah untuk bertindak bagi semua ahli. Ia bukan sekadar pelan tetapi penggerak ke arah yang lebih cerah untuk parti kita dan bagi saya, inilah cara PBS untuk maju ke hadapan,” katanya.

Jelas beliau, inisiatif memperkenal konsep PBS 2.0 itu perlu dilihat sebagai usaha baharu untuk meremajakan parti yang berusia 39 tahun dan mengubah persepsi bahawa PBS adalah parti orang tua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN