PETALING JAYA: “Saya cakap kepada yang bertanya, doakan yang baik dan katakan yang elok sahaja.”
Itu maklum balas pelakon, Nizam Zaidi mengenai keadaan bekas kekasihnya, Nonny Nadhirah yang diperkatakan ramai ketika ini.
Kata Nizam, 31, dia bimbang dengan keadaan Nonny namun berharap orang ramai mendoakan kebaikan untuknya.
“Saya mengharap dan mendoakan agar Allah memberi hidayah kepada kita dan membawa kita ke jalan yang benar. Mungkin setiap yang terjadi ada hikmahnya.
“Kita tak berada dalam kasutnya, kita tak tahu apa yang terjadi. Ini mungkin ujian untuk dia. Kita doakan yang baik-baik sebab satu hari nanti kita tak tahu apa ujian kita.
“Saya katakan kepada mereka yang bertanya, doa yang baik, cakap yang elok-elok. saya tak boleh bercakap tentang orang lain sebab bukan hak saya.
“Jikalau saya pun terkejut, keluarga dia lagi terkejut. Semua orang pasti terkejut,” katanya pada sesi media drama Hai Cinta, Dengarkanlah baru-baru ini.
Nizam diminta mengulas tentang Nonny mengejutkan orang ramai apabila berkelakuan aneh di media sosial dengan merakam dirinya membotakkan rambut dan berkemban di bilik air.
Hubungan Nizam dan Nonny sebelum terputus tengah jalan selepas keduanya memutuskan untuk tidak meneruskan perancangan mendirikan rumah tangga pada Oktober, 2020.
Nizam yang terkejut dengan kelakuan Nonny memaklumkan hanya mengetahui keadaan terkini Nonny daripada orang lain.
“Ramai yang bertanya kepada saya tentangnya, saya jawab tak tahu.
“Apa yang saya nampak dia adalah hamba Allah yang baik, suka bersedekah dan menjaga keluarga. Saya nampak yang baik sahaja.
“Saya tak berani nak ulas keadaan mental dia sebab saya tiada kepakaran dalam bidang itu. Saya tak tahu dia sakit atau tidak. Minta maaf saya tak tahu,” jelasnya.











