SHAH ALAM: Pengusaha sebuah kilang pemprosesan plastik yang disyaki menjadi punca pencemaran tiga sungai bakal berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10 juta.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan awal mendapati berlaku kebocoran pada tangki simpanan produk Poly Methacrylic Acid (PMAA) premis itu sehingga mengalir ke longkang dan sungai.
“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan JAS sebelum tindakan lanjut diambil ke atas pihak terlibat.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sebelum ini dipinda pada Julai tahun lalu, ia memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM10 juta, jika disabitkan kesalahan.
“Siasatan bagaimanapun masih sedang dijalankan JAS bagi tindakan lanjut ke atas pihak terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap kilang itu yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran bau dan gangguan bekalan air tidak berjadual.
Kebocoran tangki di premis itu kelmarin menyebabkan bahan pencemar berjadual, PMAA mengalir ke Sungai Kundang, Sungai Kuang dan Sungai Sembah.
Loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) yang dihenti tugas kembali beroperasi petang semalam selepas bacaan 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut.
Gangguan bekalan air menjejaskan 1.1 juta pengguna di lebih 1,000 kawasan tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur itu dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.
Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pemeriksaan awal mendapati kilang berkenaan mempunyai lesen dan beroperasi secara sah.
Namun, tegas beliau, tindakan tegas akan dikenakan kerana ia turut mengakibatkan empat LRA dihenti tugas dan berlakunys gangguan bekalan air tidak berjadual.
Tambahnya, JAS dan dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menjalankan pemantauan berterusan di lokasi terlibat bagi memastikan pencemaran tidak berulang. – UTUSAN










