Ketua Wanita Amanah dijemput sebagai penyumbang - Utusan Malaysia

Ketua Wanita Amanah dijemput sebagai penyumbang

Penyumbang
AIMAN Athirah Sabu menghadiri Konsert Amal SJK (C) Tche Min yang dikatakan menerima sumbangan sebanyak RM3.1 juta daripada sebuah syarikat arak gergasi dekat sekolah berkenaan di Sungai Pelek, Sepang, Selangor. - Gambar Facebook Ahli Majlis Daerah Sepang, Cheong Wai Shon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu dinafikan terlibat dalam Konsert Amal Pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tche Min, Sepang yang dikatakan menerima tajaan daripada syarikat arak pada awal bulan lalu.

Sebaliknya, beliau dijemput menghadiri majlis tersebut sebagai salah seorang penyumbang dalam pengumpulan dana awam kepada sekolah berkenaan bagi pembinaan sebuah dewan.

Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Sepang dalam kenyataannya berkata, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyokong usaha dilakukan oleh lembaga pengurusan sekolah berkenaan bagi keselesaan pembelajaran muridnya.

“Apa yang menjadi keutamaan beliau pada hari kejadian adalah menyokong usaha murni Lembaga Pengurusan SJK (C) Tche Min yang berusaha mengumpulkan dana awam bagi membina dewan sekolah yang lebih selesa untuk pembelajaran anak-anak Sepang serta bersama-sama para penyumbang yang terdiri daripada warga Sepang sendiri.

“Juga menjadi kebiasaan Aiman Athirah sebelum ini, beliau akan usaha sebaiknya untuk hadir ke acara yang dianjurkan oleh sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda komitmen beliau dalam isu pendidikan anak-anak,” katanya.

Tambahnya, usaha membangunkan pendidikan itu tenggelam apabila tular gambar penglibatan syarikat Tiger yang hadir sebagai salah satu penyumbang.

“Selaku tetamu yang hadir ke program itu, kami tidak dimaklumkan oleh penganjur senarai penyumbang-penyumbang yang lain sehinggalah hari kejadian setibanya di tapak program. Semua penyumbang diraikan dengan upacara penyerahan hadiah penghargaan dan bergambar di atas pentas sebagai kenangan,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dilaporkan menyelar tindakan menormalisasikan tajaan syarikat arak sebagai organisasi yang tidak mesra keluarga menjadi penyumbang kepada pembinaan dan pembangunan sekolah.

Menurutnya, lebih dikesalkan apabila Amanah yang dikatakan ‘bersubahat’ dalam program tersebut dan beliau mempertikai pendirian parti itu dalam memperjuangkan dan menjaga kesucian Islam yang dianggap semakin terancam dengan sikap liberalisasi bertopengkan Islam.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang menyumbang sebanyak RM100,000 kepada sekolah berkenaan.

Sebagai makluman, undangan tetamu jemputan dibuat oleh lembaga pengurusan sekolah bagi menjemput semua penyumbang termasuk beliau yang menyumbang RM100,000.

“Selain Aiman Athirah, ramai lagi penyumbang persendirian serta syarikat-syarikat termasuk Syarikat Tiger yang menyumbang sebanyak RM 3 juta dan para alumni sekolah serta penduduk membeli meja sebanyak 160 buah bagi menambah kutipan dana pada malam tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, sehingga 14 Julai yang lalu, Parlimen Sepang di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri dan Projek Mesra Rakyat membelanjakan sebanyak RM1.2 juta kepada Pendidikan anak-anak Sepang hampir 50% daripada jumlah peruntukan beliau bagi tahun ini.

“Antara penerima sumbangan pada tahun ini adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Lang sebanyak RM150,000, Sekolah KAFA Desa Pinggiran Putra Sebanyak RM200,000 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana sebanyak RM130,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN