'Kesedaran awam terhadap kes dera haiwan kini meningkat'

‘Kesedaran awam terhadap kes dera haiwan kini meningkat’

DR. Akma (kiri) dan Fahmi (tengah) ketika menghadiri Hari Kebajikan Haiwan 2024 di Kampung Agong, Penaga, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Trend peningkatan aduan membabitkan kes penderaan haiwan membuktikan kesedaran rakyat di negara ini terhadap perkara itu kini semakin meningkat.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr. Akma Ngah Hamid berkata, sebagai contoh, sebanyak 2,622 aduan direkodkan tahun lalu berbanding 1,580 aduan pada tahun 2022.

Katanya, dari awal tahun ini sehingga Jun lalu pula, sebanyak 2,162 kes telah diterima membabitkan penderaan terhadap haiwan terutamanya anjing dan kucing.

“Kita dapati kesedaran itu semakin meningkat termasuk (daripada kalangan) individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap kebajikan haiwan dan (mereka juga) pantas mengemukakan aduan sekiranya terdapat kejadian penganiayaan.

“(Justeru) kalau nampak kezaliman atau salah laku oleh pemilik, kita harap mereka dapat melaporkannya kerana kita ada ‘link’ (pautan) MyAnimalwelfare.

“Jadi, saya harap mereka dapat melaporkan (aduan) melalui kaedah yang betul. Jangan mengambil tindakan melangkaui batasan sebab kita ada peraturan dan akta kebajikan haiwan. Oleh itu, diharapkan agar semua dapat mematuhi akta yang kita ada serta peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Hari Kebajikan Haiwan 2024 yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol di Kampung Agong, Penaga di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab.

Mengulas lanjut, Dr. Akma berkata, dari tahun 2021 sehingga Jun lalu, pihaknya telah merekodkan kes penderaan tertinggi terhadap anjing iaitu sebanyak 5,226 kes diikuti kucing (1,900 kes), kuda (178), arnab (157), burung (122), lembu (105) serta lain-lain kes iaitu sebanyak 116 kes.

Katanya, bagi tempoh sama juga, Selangor mencatatkan rekod aduan tertinggi iaitu sebanyak 3,334 kes diikuti Wilayah Persekutuan (1,113 kes), Johor (800) serta Pulau Pinang dan Perak, masing-masing dengan 695 serta 491 kes.

“Selain itu, kita juga melaksanakan pelbagai promosi dan kesedaran tentang kebajikan dan perundangan haiwan sejak tahun 2015.

“Kajian yang dijalankan pada akhir 2021 berkaitan ‘Kajian Tentang Pengetahuan Umum Berkaitan Perundangan, Kesedaran dan Sikap Mengenai Kebajikan Haiwan Di Malaysia’ mendapati, kebanyakan responden mengetahui tentang perundangan dan asas keperluan kebajikan haiwan.

Tambah beliau, hasil kajian turut mendapati, 90 peratus daripada responden sedar tentang lima keperluan asas haiwan dan sanggup membayar lebih untuk menyediakan dan memastian keperluan dan kebajikan haiwan yang baik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×