KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terhadap Tan Sri Musa Hassan ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas bekas Ketua Polis Negara itu bersama-sama peguamnya tidak hadir pada prosiding itu, hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi selanjutnya menetapkan perbicaraan disambung pada 9 Ogos ini bagi sesi soal balas terhadap Musa.
Pada prosiding hari ini, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan selaku plaintif hadir di mahkamah selain barisan peguam termasuk Datuk S. Ambiga dan Razlan Hadri Zulkifli.
Ketika sidang terdahulu, bekas Ketua Polis Negara selaku defendan diwakili oleh peguam-peguam Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz dan Datuk Shaharuddin Ali.
Sementara itu, Mohd. Khairul Azam ketika dihubungi wakil media menjelaskan pihaknya terlepas pandang tarikh perbicaraan hari ini.
“Kami akan tulis surat kepada mahkamah dan plaintif memaklumkan kesilapan ini,” ujarnya melalui pesanan WhatsApp ketika ditanya berhubung ketidakhadiran pihak defendan dan peguamnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah dan hantaran di laman Facebooknya sejurus kes ditangguhkan menyatakan kes saman fitnah itu tidak dapat diteruskan kerana defendan dan barisan peguamnya tidak hadir.
Musa sepatutnya menyambung keterangan sebagai saksi pertama defendan dalam perbicaraan kes saman fitnah Hannah (plaintif) terhadapnya kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah semasa berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.
Pada 5 Julai lalu, Musa memberi keterangan bahawa tiada dokumen khusus yang mengaitkan penglibatan Hannah dalam gerakan Evangelisme untuk menyebarkan agama Kristian di negara ini.
Menurut Musa, sepanjang memegang jawatan sebagai pegawai tertinggi pasukan polis, beliau tidak pernah melihat dokumen yang membuktikan Menteri Belia dan Sukan itu terlibat dalam aktiviti penyebaran agama Kristian.
Bagaimanapun, beliau berpendirian pergerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’.
Dalam pernyataan saksi terpinda defendan, Musa, 73, menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme.
Ujar defendan, beliau juga membangkitkan bahawa selain daripada bahaya indoktrinasi komunisme, terdapat juga ancaman kepada kedaulatan negara melalui Gerakan Kristianisasi dan Gerakan Evangelisme yang didalangi oleh parti politik dan individu berpengaruh di Malaysia. – UTUSAN











