SHAH ALAM: Kerusi yang masih boleh digunakan di Stadium Shah Alam akan diberikan secara percuma kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan sekolah di negeri ini.
Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor berkata, kerusi itu antaranya boleh dipasang di stadium daerah atau astaka.
“Ada yang bertanyakan (ketika) kerja perobohan Stadium Shah Alam, apa jadi dengan kerusi di stadium itu?. Kesemua kerusi itu akan ‘dismantle’ dan diasingkan mana yang rosak, akan dilupuskan. Manakala, kerusi elok akan disimpan di dalam tempat simpanan,” katanya hari ini.
Tambahnya, kerusi itu turut ditawarkan untuk dipasang di sekolah terutama yang mempunyai astaka di negeri ini.
Terdapat 86,000 kerusi di stadium itu dan kerja-kerja pembukaan bumbung dijalankan selepas semuanya selesai dibuka.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan perobohan Stadium Shah Alam yang sebelum ini bertangguh sejak tahun lalu akhirnya bermula semalam selepas syarikat pemaju menerima permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Kerja-kerja perobohan tersebut sekali gus menandakan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel dan pusat beli-belah bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di Seksyen 13 itu bermula.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBI, Saipolyazan M. Yusop memaklumkan kerja-kerja perobohan tersebut dilakukan secara konvensional dengan mengambil kira faktor keselamatan, gangguan terhadap penduduk setempat serta aliran trafik.
Terdahulu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim dilapor memberitahu Stadium Shah Alam hanya boleh dirobohkan selepas kesemua syarat dipatuhi oleh pemaju termasuk penyerahan pelan secara rasmi kepada MBSA.
Untuk rekod, stadium yang dibina pada 1994 itu bakal berwajah baru sepenuhnya dengan nama baru iaitu KSSA dengan fasiliti sukan yang lebih lengkap serta bertaraf dunia.
Stadium yang merupakan rumah kedua pasukan Harimau Malaya itu bakal mempunyai padang boleh alih pertama di Malaysia.
Fasa pertama yang dijangka siap pada akhir 2026 akan menyaksikan stadium utama, plaza parkir dan Terminal Pengangkutan Bersepadu dan Projek LRT3 siap dan boleh digunakan serentak. – UTUSAN










