Kertas siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini diserah DPP masa terdekat

Kertas siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini diserah DPP masa terdekat

Wanita
NUR FARAH KARTINI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha pencarian bahan bukti di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian telah selesai dijalankan setakat ini.

“Kertas siasatan dijangka diserahkan sebelum Jumaat. Ia susulan pencarian bahan bukti telah selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isnin lalu, tempoh tahanan reman suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis dilanjutkan tujuh hari sehingga 29 Julai ini selepas tempoh reman pertama tamat. 

Media sebelum ini melaporkan, Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4, Perak. 

Kunci itu ditemukan oleh seorang penyelam daripada unit berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan kecil di sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.

Hussein semalam mengesahkan penemuan kunci selain dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini di sungai tersebut.

Pada 17 Julai lalu, polis telah menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang yang turut menjadi lokasi utama pembunuhan tersebut.

Keesokan harinya, beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini turut ditemukan ketika operasi pencarian di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN