SUNGAI PETANI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentangkan kertas kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkaitan perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kertas tersebut akan turut menyentuh mengenai pemetaan sebenar keberadaan mineral itu yang selama ini hanya ditentukan secara anggaran.
“Susulan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-3 (MMN Ke-3) semalam dan sebelum itu mesyuarat dengan Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, satu kertas akan dibawa NRES ke MTEN.
“Antara intipatinya nak pastikan di mana lokasi yang betul-betul sesuai untuk diteroka NR-REE kerana buat masa ini kita banyak tinjau dan hanya anggarkan lokasi mineral itu.
“Kedua mahu memastikan bukan sahaja kita dapat hasil secara kasar iaitu bahan mentah itu tetapi untuk memproses sebahagiannya di negara kita seperti yang dilaksanakan di Kilang Lynas untuk unsur dari Australia yang berbeza dengan sumber di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di kawasan perindustrian di sini, hari ini.
Tambah Nik Nazmi, kertas berkenaan juga bagi memastikan operasi berkaitan industri mineral dilaksanakan secara lestari untuk mengelak sebarang pertikaian pada masa akan datang.
“Penggunaan teknologi bersesuaian juga perlu dipertimbangkan, di samping memastikan hasil mineral yang diperolehi itu dapat juga diproses di negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, terdapat beberapa syarikat menyatakan minat untuk pemprosesan REE yang dikeluarkan di Mukim Kenering, Hulu Perak, Perak.
“Kita sedang tengok bagaimana cara terbaik kerana ia melibatkan pelaburan yang besar dan syarikat-syarikat tersebut juga mahu jaminan daripada kerajaan.
“Bagi nadir bumi di Kedah, prosedur operasi standard (SOP) sudah ada, kerajaan negeri sudah dimaklumkan cuma kita minta jangan kacau hutan, cuba eksploitasi di luar dulu,” katanya. -UTUSAN










