SUNGAI BULOH: Kerajaan menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini, 25, yang ditemukan dibunuh di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang , Hulu Selangor dekat sini, Isnin lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, keluarga semestinya dalam keadaan trauma terhadap kejadian yang menimpa bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) tersebut.
“Saya ada berjumpa ahli keluarga (Nur Farah Kartini) abang serta ibunya dalam keadaan bersedih.
“Justeru, saya mewakili Ahli Parlimen serta Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad) sedia menawarkan perkhidmatan kaunseling psikososial dan ‘post trauma’ terhadap mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Terdahulu, Lukanisman tiba di Unit Forensik di sini kira-kira 12.15 tengah hari untuk berjumpa dan menyampaikan ucap takziah kepada ahli keluarga wanita berasal dari Miri, Sarawak itu.
Dalam pada itu, beliau turut menuntut siasatan dijalankan pihak polis secara adil terhadap kes bunuh Nur Farah Kartini.
“Saya juga Ahli Parlimen (Sibuti) di kawasan Miri jadi sudah tentu saya ingin menuntut keadilan terhadap kes ini agar ia dapat diselesaikan.
“Jenazah kini sedang dimandikan dan akan dikebumikan kampung kakak ipar Allahyarham di Pekan, Pahang.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di lokasi kejadian adalah Nur Farah Kartini.
Katanya, jenazah akan serahkan pada waris, hari ini.
“Ya, mayat akan diserahkan hari ini. DNA positif, ia adalah Farah (Nur Farah Kartini),” katanya..
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang. – UTUSAN









