Kemajuan luar bandar, KKDW fokus lima agenda utama

Kemajuan luar bandar, KKDW fokus lima agenda utama

AHMAD Zahid Hamidi bergambar bersama kakitangan kementerian pada Majlis Perhimpunan Bulan Julai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Hotel Premiera. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan lima fokus utama untuk meningkatkan fungsinya bagi kemajuan serta pembangunan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lima fokus utama itu adalah memperkasa dan mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memangkin pembangunan halal negara, memperkasa agenda Huffaz negara, menyantuni agenda kongres ekonomi bumiputera dan menyelami nadi ekonomi Gig negara.

Menurutnya, bagi memastikan semua program itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, terdapat 26 jawatankuasa Kabinet, jawatankuasa khas, jawatankuasa peringkat tinggi, dan pasukan petugas yang dibentuk merangkumi bidang seperti pembangunan halal, pengurusan bencana, pembangunan ekonomi, keselamatan jalan raya, dan perusahaan. 

“Kita mesti memperkukuh dan mempromosikan pendidikan TVET dengan baik kerana TVET telah diangkat oleh Perdana Menteri sebagai agenda nasional dalam usaha melahirkan golongan profesional dengan sebanyak 279 institusi yang beroperasi di bawah pengurusan KKDW.

“Kita juga perlu memastikan pembangunan industri halal terus berkembang kerana ia mempunyai potensi besar dalam mengukuhkan ekonomi domestik serta turut meningkatkan jumlah eksport. 

“Pada tahun lalu, industri halal menyumbang 7.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan eksport bernilai RM53.72 bilion serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dengan sumbangan jualan yang signifikan sejak tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Hotel Premiera, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, fokus utama ketiga adalah untuk memperkasa belia melalui pendidikan dan latihan menerusi agenda Huffaz Negara.

Katanya, sebanyak 4,145 kelas melibatkan 64,175 kanak kanak dan seramai 3,564 Huffaz MARA telah dilahirkan daripada sistem pengajian MRSM Ulul Albab.

“Kita juga harus menyokong agenda Kongres Ekonomi Bumiputera di mana pentingnya peranan MARA dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

“Terakhir, kita mesti memberi perhatian kepada ekonomi gig negara di mana jumlah pekerja gig di Malaysia dianggarkan seramai 1.6 juta orang namun, banyak aspek seperti kebajikan dan peluang kejayaan yang perlu diperbaiki,” jelasnya.

Tambahnya, KKDW perlu terlibat secara langsung dalam meningkatkan kemahiran dan penyesuaian kemahiran semula untuk memastikan pekerja-pekerja gig ini mendapat sokongan yang diperlukan.

Fokus agenda utama itu perlu dicapai dalam 25 tahun akan datang dalam memastikan segala usaha yang dilakukan dapat memberi manfaat kepada semua pihak, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×