Keluarga Nur Farah Kartini serah siasatan pada polis - Abang

Keluarga Nur Farah Kartini serah siasatan pada polis – Abang

ABANG kepada Nur Farah Kartini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Ahli keluarga Nur Farah Kartini Abdullah menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Abangnya, Mohd. Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, dia memberi keyakinan kepada pihak polis berkaitan siasatan tragedi pembunuhan yang berlaku terhadap adiknya itu.

“Saya dan keluarga serahkan sepenuhnya kepada pihak polis berkaitan kes ini, itu sahaja yang mampu saya komen setakat ini.

“Saya minta orang ramai dapat doakan adik saya (Nur Farah Kartini) agar semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media serta masyarakat yang selama ini sentiasa mendoakan adiknya. 

“Terima kasih juga kepada pihak Universiti Sultan Idris (UPSI) yang banyak membantu kami,” katanya. 

Menurut Mohd. Farriza Amir, jenazah adiknya akan dibawa ke Pekan, Pahang sebelum dikebumikan di sana.

“Jangkaan Allahyarham akan dikebumikan petang ini di Pekan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di lokasi kejadian adalah Nur Farah Kartini. 

Katanya, jenazah akan serahkan pada waris, hari ini. 

“Ya, mayat akan diserahkan hari ini. Asid deoksiribonukleik (DNA) positif, ia adalah Farah (Nur Farah Kartini),” katanya. 

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×