HULU SELANGOR: Polis mengesahkan keterangan beberapa pekerja di sebuah kebun ubi dekat Slim River, Perak yang diusahakan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah telah selesai dirakam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd Yunus berkata, polis sebelum ini menyiasat kebun tersebut dengan beberapa perkara diteliti.
“Kita telah jalankan siasatan di lokasi terbabit dan beberapa individu yang merupakan pekerja kebun turut dirakam keterangan berhubung siasatan yang dijalankan,” katanya di sini.
Sebelum ini media melaporkan Nur Farah Kartini dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh.
Jumaat lalu, usaha pencarian bahan bukti berkaitan pembunuhan Nur Farah Kartini diteruskan lagi di Sungai Trolak Kampung Batu di Perak.
Media sebelum ini melaporkan beg tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Trolak ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan.
Lokasi ini terletak kira-kira 20 minit dari parit dekat kawasan hutan kelapa sawit dekat Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.
Pencarian yang dijalankan polis di kawasan parit berkenaan sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.
Isnin lalu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kehilangan mangsa dilaporkan pada 11 Julai susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas sehari menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim. – UTUSAN










