Keluarga harap kematian Nur Farah Kartini terbela

Keluarga harap kematian Nur Farah Kartini terbela

AHLI keluarga Nur Farah Kartini berjalan keluar dari kompleks mahkamah selepas pertuduhan anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhamad Aliff Monjani yang didakwa atas kes pembunuhan Nur Farah Kartini di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Keluarga mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah berpuas hati dengan siasatan polis yang akhirnya membawa kepada pertuduhan kepada tertuduh ke muka pengadilan, hari ini. 

Sepupu Nur Farah Kartini, Suzur Sofia Smeth Jaya, 33, berkata, dia bersama adik iparnya hadir bagi mewakili keluarga mangsa bagi prosiding pertuduhan kes di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, di sini.

“Kami amat berpuas hati dan positif dengan prosiding pendakwaan tertuduh mengenai akta yang dituduhkan ke atas suspek. 

“Abang mangsa akan hadir pada sebutan semula kes pada 30 Ogos akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Menurutnya, mereka sekeluarga mahu nasib arwah (Nur Farah) terbela dan mahukan keadilan.

KES BUNUH

Terdahulu, seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu sebentar tadi atas pertuduhan membunuh wanita malang itu. 

Muhammad Alif Monjani didakwa melakukan perbuatan itu di antara 10 dan 15 Julai lalu di sebuah ladang di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali. 

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam si antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan Telekomunikasi (telco).

Ketika prosiding tertuduh diwakili peguam-peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 ogos bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×