ALOR SETAR: Penganjuran futsal Grand Final ‘Ultraz League’ 1.0 yang julung kali diadakan berinspirasikan konsep SuperBowl American Football di Amerika Syarikat menjadi platform terbaharu untuk peminat sukan itu di negara ini.
Pertandingan yang bermula di beberapa pusat futsal di negeri ini mulai 14 Jun lalu menyaksikan pasukan yang menjadi juara dan naib juara di peringkat berkenaan layak memasuki pusingan ‘grand final’.
Menurut Pengurus Ultraz Brand, Muhammad Addin Naza Ramli, sebanyak lapan pasukan terbaik berentap pada peringkat ‘grand final’ yang mana kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM5,000.
“Kami wujudkan suasana ala-ala penganjuran SuperBowl di Amerika Syarikat yang mana kejohanan itu hanya mengumpulkan pasukan-pasukan terbaik dari setiap pelusuk negara itu.
“Kami juga membawakan secara eksklusif pasukan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma yang pernah menyertai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa untuk menghiburkan penonton,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad Addin berkata, meskipun kejohanan dianjurkan itu hanya melibatkan anak muda dalam komuniti setempat sekitar Kedah, namun mereka mahu ianya dilihat sebagai sebuah kejohanan yang besar.
“Kami mahu anak-anak muda di Kedah merasakan ada platform untuk mereka bermain futsal secara serius dalam bentuk pertandingan berbanding bermain semata-mata mengisi masa lapang.
“Malah, selaku pengeluar jersi, Ultraz turut menyediakan jersi percuma kepada setiap pasukan yang menyertai kejohanan ini yang antara lain sebagai tarikan untuk mereka,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berharap kejohanan itu boleh menjadi platform bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan futsal di negeri ini dan dapat menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan futsal di masa depan.
“Kami bercadang untuk luaskan lagi kejohanan ini supaya lebih banyak pasukan dapat sertai dan banyak pusat futsal dapat terlibat. Buat masa ini kami fokus di Kedah dahulu dan kami memang ada niat untuk buat di seluruh negara.
“Jurulatih pasukan futsal profesional turut diundang ke setiap perlawanan yang diharap dapat mengenal pasti pemain-pemain berbakat untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Dalam perlawanan akhir pusingan grand final edisi pertama malam tadi, pasukan AA Apparel berjaya muncul juara setelah menewaskan Tandop FC 4-3 menerusi sepakan penalti selepas keputusan seri 0-0. -UTUSAN










