SHAH ALAM: Sutradara tersohor, Osman Ali, 51, tidak menafikan pengarah drama atau filem juga mempunyai hak untuk memberi teguran kepada pelakon dan kru produksi agar membataskan pergaulan di set penggambaran bagi mengelakkan isu yang dicetuskan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies, berulang.
Bagaimanapun, Osman juga tidak menolak bahawa pengarah mempunyai pilihan sama ada mahu memgambil tanggungjawab tersebut atau sekadar menjalankan tugas pengarahan tanpa mencampuri urusan peribadi individu lain.
“Saya belum pernah lagi berhadapan pengalaman itu di set penggambaran saya.
“Tetapi, Kalau perkara itu berpotensi mencetuskan impak negatif kepada masyarakat, ada baiknya sebagai orang yang berpengalaman dalam industri, saya mengambil tanggungjawab untuk menjaga sedikit ruang itu agar ia tidak terlalu terbuka sehingga membawa risiko kepada semua pihak.
“Terpulang kepada pengarah, sama ada mahu memberi teguran atau membiarkan sahaja perkara itu,” katanya yang ditemui sempena sidang akhbar dan tayangan perdana drama bersiri Barajiwa di sini, petang tadi.
Pengarah filem Ombak Rindu itu diminta mengulas mengenai isu batas pergaulan pelakon lelaki perempuan di set penggambaran yang sebelum ini hangat diperkatakan selepas kontroversi membabitkan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies menggemparkan dunia seni tanah air.
Mengulas lanjut, Osman memaklumkan dia tidak teragak-agak untuk memberi teguran kepada pelakon dan kru di set penggambaran mengenai perkara tersebut.
Namun, katanya, keadaan itu bergantung kepada sejauh mana akrabnya hubungan antara dia dengan individu terbabit.
“Keadaan ini bergantung dengan serapat mana hubungan saya dengan pelakon berkenaan. Contoh, katakanlah Remy Ishak. Saya boleh tegur dia sebab hubungan kami rapat.
“Tapi kalau dengan pelakon yang saya baru kenal dan baru bekerja bersama, tentu ada batasan.
“Jadi saya tak boleh dengan sembarangan campuri hal peribadi pelakon yang bekerja dengan saya.
“Pembatasan itu tetap boleh dilakukan, contohnya mungkin asingkan bilik wardrobe, perbaiki cara kerja untuk mengurangkan kemesraan yang berlebihan,” jelasnya.










