BATU PAHAT: Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti di pantai-pantai di Mersing khususnya mandi buat sementara waktu susulan kehadiran organisma akuatik berbahaya, Gastropoda di perairan berkanaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, dijangkakan selepas tamatnya monsun masalah kehadiran organisma yang boleh membawa mudarat termasuk tidak balas kepada kulit manusia itu akan berakhir.
Katanya, Gastropoda yang dikenal pasti sebagai Petropoda merupakan antara organisma akuatik berbahaya dan mempunyai sengat yang boleh memudaratkan manusia dilaporkan berada di perairan Mersing sejak 11 Jun lepas.
“Organisma ini dipercayai dibawa oleh angin monsun dan kapal sehingga tersebar ke kawasan kepulauan dan laut Mersing.
“Sekiranya terdapat kesan tertentu segeralah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan serta sentiasa peka dengan pengumuman yang dikeluarkan pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Larian Luban 2024 dan Johor Bersih Peringkat Batu Pahat di Astaka Shahbandar, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas berkenaan kerja-kerja pembersihan pantai di Sungai Rengit, Pengerang dekat Kota Tinggi, Tian Soon berkata, ia telah siap 100 peratus dengan 49 tan sisa minyak berjaya dikumpulkan.
Manakala, tambahnya, kerja-kerja pembersihan di Pulau Che Kamat telah bermula semalam dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu. – UTUSAN











