‘Jangan korban jati diri demi kuasa, harta’

‘Jangan korban jati diri demi kuasa, harta’

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Taib Azamudden Md. Taib di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam. – IHSAN UPDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sul­tan Sallehuddin Sultan Bad­lishah mengingatkan umat Islam agar tidak mengorbankan jati diri sebagai seorang muslim semata-mata kerana ingin me­raih kuasa, kekayaan harta benda, pangkat dan populariti.

Titah baginda, umat Islam per­lu mengutamakan persauda­raan, integriti, kualiti insan dan keberkatan dalam segala tindak tanduk yang dilaksanakan.

“Janganlah kerana tamakkan pencapaian dan kemajuan du­niawi, serta mahu melihat ke­jayaan secara drastik, kita sanggup korbankan kehendak agama dan musnahkan nilai kemanusiaan dengan melakukan fasid di atas muka bumi Allah ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Paling penting, jaga ibadah kita kepada Allah, diikuti hubungan sesama manusia. Jauhilah diri daripada menimbulkan bibit-bibit perpecahan yang ternyata amat merugikan,” titah baginda pada Majlis Per­himpunan Sambutan Maal Hij­rah Peringkat Negeri Kedah 1446H, di sini semalam.

Pada majlis sama, Sultan Sal­lehuddin berkenan menyampai­kan anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah, Datuk Taib Azamudden Md. Taib, wakil Masjid Terbaik Kategori Bandar (Masjid Tunku Sallehuddin Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani) dan Masjid Terbaik Luar Bandar, (Masjid Nurul Iman Kampung Gulau, Sik).

Titah Sultan Sallehuddin, umat Islam perlu dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh agar masing-masing tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan himpitan hawa nafsu.

“Umat Islam yang lemah kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

“Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin, maka perlu bagi kita mengatur segala urusan kehidupan, berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak, disamping memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya,” titah baginda.

Bertitah lanjut, Sultan Sallehuddin berkongsi sejarah yang telah membuktikan bahawa kejayaan dalam kehidupan memerlukan usaha berterusan dan pelbagai pengorbanan.

“Penghijrahan juga perlu berlaku secara beransur-ansur, dengan harapan membuahkan hasil pada akhirnya. Jangan sampai orang bukan Islam terus mentertawakan kita, malah mengambil kesempatan merendahkan martabat Islam atas kelemahan yang kita sendiri ‘cipta’. Ikutilah panduan yang diajar oleh, baginda Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini