PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Raja-Raja mahu kajian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal Undang-Undang Islam dijalankan dengan teliti dan tidak gopoh sebelum mengeluarkan sebarang pandangan.
Perdana Menteri berkata, ini kerana pelaksanaan untuk meningkatkan kedudukan dan martabat mahkamah syariah, khususnya melibatkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) kelak tidak dilihat ada kelemahan ketara.
Beliau berkata, setakat ini, kajian yang dimulakan akhir tahun lalu tidak mendapat sebarang bantahan atau masalah, termasuk ‘direstui’ Ketua Hakim Negara dan Majlis Raja-Raja memberikan perkenan selepas diberi taklimat awal.
“Alang-alang kalau nak buat pindaan, buat pindaan yang betul-betul dan menyeluruh supaya kesungguhan kita dalam melaksanakan itu tidak dipertikai dan sekurang-kurangnya jelas dengan hujah kita mencakupi semua bidang.
“Pada Ogos ini Insya-Allah kita bentangkan (hasil kajian awal kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Agama Islam (MKI), tetapi tentu tidak dapat dimuktamadkan kerana perbincangan saya dengan Sultan Perak sebaik-baiknya diangkat ke peringkat antarabangsa.
“Kita rujuk semula sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam, adat dan kewarganegaraan, hal-hal tertentu mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia di sini hari ini.
Anwar berkata, kajian berkenaan itu juga akan menjadi satu dokumen kukuh yang boleh ditelaah di peringkat antarabangsa, justeru usaha untuk menyelaras pandangan daripada semua pihak perlu dilakukan termasuk dalam kalangan pakar perundangan Islam antarbangsa.
Beliau berkata, usaha penelitian ini bukan satu dalih untuk melengahkan atau meremehkan usaha yang lalu, malah ia ditambah baik kerana ada beberapa kelemahan besar dalam peruntukan itu.
Katanya, ia bukan sahaja perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi ia harus merujuk kepada pakar antarbangsa supaya ia menjadi contoh terbaik pelaksanaan satu dokumen usaha memartabatkan perundangan Islam.
“Ia kemudian boleh dijadikan panduan, diserasikan di antara kedudukan dan kekuatan mahkamah syariah dan mahkamah sivil.
“Di samping itu juga melihat beberapa ciri atau peruntukan mahkamah sivil yang ternyata melanggar secara terang konsep perundangan Islam, barulah kita kata konsep pengislaman sebenarnya. Ia tidak boleh hanya dilihat dari sudut perundangan Islam atau mahkamah syariah dengan mengenepikan yang lain,” katanya. – UTUSAN










