KUALA LUMPUR: Kapal tangki MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 ditahan bagi membantu siasatan susulan insiden pelanggaran membabitkan kedua-dua kapal terbabit pada 19 Julai lalu di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Johor.
Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kepten Mohamad Halim Ahmed berkata, siasatan awal mendapati tiada tumpahan minyak dikesan, hanya terdapat kilauan minyak yang disyaki berpunca dari tangki bunker kapal Hafnia Nile.
“Kapal Ceres 1 yang membawa 26 orang anak kapal sedang berlabuh akibat masalah teknikal yang dihadapi.
“Hafnia Nile yang membawa 22 orang anak kapal sedang dalam pelayaran cuba mengelak Ceres 1, namun gagal dan bahagian port Hafnia Nile telah terlanggar bahagian starboard bulbos bow Ceres 1,” katanya.
Mohamad Halim berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung perkembangan terkini insiden kemalangan Ceres 1 dan Hafnia Nile di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Jelasnya, akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua kapal terbakar dan rantai sauh Ceres 1 di bahagian starboard terputus seterusnya menyebabkan kapal itu hanyut 30 batu nautika ke arah Pulau Tioman.
“Ceres 1 tanpa kargo yang sedang dalam pelayaran ke Lanshan, China manakala Hafnia Nile membawa muatan Naphtha dalam pelayaran ke Kashima, Jepun,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan melibatkan aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan polis marin.
“Laporan sebelum ini mengatakan kapal itu meninggalkan lokasi selepas berlakunya pelanggaran adalah tidak tepat kerana semua sistem termasuk sistem pengenalan automatik (AIS) yang digunakan untuk mengesan kapal juga tidak berfungsi,” katanya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat insiden pelanggaran kapal tangki Hafnia Nile dan Ceres 1 ditamatkan pada 22 Julai lalu dengan kedua-dua kapal itu ditunda ke kawasan selamat di kedudukan 20 batu nautika timur Tanjung Sedili. – UTUSAN







