Insentif kepada SRG dibawa ke MMKN - Utusan Malaysia

Insentif kepada SRG dibawa ke MMKN

SRG
MOHD. Najwan Halimi (dua, kiri) dan Johan Kamal Hamidon (kanan) menyaksikan perlawanan antara SRG dan Falcons AP Bren Sport dalam Piala Dunia ESport Mid Season Cup MLBB 2024 dekat Restoran Hakim, di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cadangan pemberian insentif kepada kepada ahli pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang merangkul kejuaraan dalam Piala Dunia ESport Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, bagaimanapun ketika ini beliau belum dapat memberi kata putus dan perlu mendapatkan persetujuan daripada ahli MMKN.

“Sekiranya mendapat persetujuan daripada ahli majlis, baru pemberian wang insentif itu dapat dilaksanakan. Tetapi, kemenangan yang diperoleh mereka (1 juta Dolar Amerika Syarikat) sangat besar dan mencukupi dengan kesemua ahli pasukan SRG.

“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan tersebut kerana menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya memenangi kejohanan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program tayangan skrin besar Piala Dunia ESport Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024, malam tadi.

Semalam, SRG melakar sejarah dalam dunia e-sport negara apabila menjadi pasukan Malaysia yang menjulang kejohanan MLBB apabila menewaskan pasukan dari Filipina yang juga juara bertahan, Falcons AP Bren Sport.

Mereka menumpaskan pasukan tersebut dengan kiraan mata empat berbalas tiga, dalam perlawanan yang berlangsung lebih dua jam di Riyadh, Arab Saudi.

Jelas Mohd. Najwan, menerusi kemenangan tersebut, kerajaan negeri mahu terus mencungkil bakat muda yang mampu menyinar dalam pelbagai permainan dalam e-Sports pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pelaburan SFC ke atas SRG sangat berbaloi dengan pencapaian yang dikecapi.

Justeru itu, SFC akan terus membuat pelaburan ke atas SRG tersebut bagi membolehkan pasukan berkenaan membuat persiapan awal mempertahankan trofi kejuaraan.

“Mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar, jadi perlu ada perancangan awal bagi mempertahankannya. Apapun, bagi semua ahli pasukan berehat dahulu selepas lebih dua minggu berhempas pulas berjuang di Riyadh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN