HULU TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah jantan liar dianggarkan seberat 1.5 tan di Kampung Teris, dekat sini, hari ini.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, operasi memindahkan mamalia berkenaan dibantu dua gajah denak iaitu Indah dan Suria yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.
Menurutnya, gajah liar tersebut berjaya ditangkap Khamis lalu selepas operasi menjejak diaktifkan sejurus menerima aduan penduduk pada 22 Julai lalu berhubung gangguan haiwan itu.
Katanya, mamalia dianggarkan berusia 12 tahun yang dipindahkan itu dipercayai bukan bergerak dalam kumpulannya tetapi secara solo menceroboh kawasan kebun pertanian penduduk.
“Seramai 17 anggota Perhilitan Terengganu, Johor serta ibu pejabat Perhilitan terlibat dalam operasi memindahkan gajah ini yang mengambil masa kira-kira hampir empat jam bermula pukul 9 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Teris, dekat sini, hari ini.
Kean Seong memberitahu, haiwan ini akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat.
“Operasi pemindahan gajah tersebut merupakan yang kelima dilaksanakan di Terengganu pada tahun ini,” ujarnya
Selain itu, tambahnya, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati jika terserempak dengan hidupan liar serta segera melaporkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










