GEORGE TOWN : “Saya reda dengan apa yang berlaku. Saya sempat bacakan surah Yasin kepada abang (nama panggilan untuk anak sulung).”
Itu luahan Nurain Hasnorizal, 25, ibu kepada Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, yang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).
Nurain berkata, sejak semalam, doktor sudah memaklumkan bahawa keadaan kesihatan anak sulungnya itu merosot dan meminta ahli keluarga bersiap sedia untuk berdepan segala kemungkinan.
“Sejak malam tadi saya memang tidak tinggalkan abang (Muhammad Akil Syauqi), tetapi dia memang tidak memberi apa-apa respon.
“Pagi tadi saya bacakan surah Yassin di sisi abang. Perlahan-lahan dia pergi tinggalkan saya. Selepas saya habis bacakan surah Yassin, abang pergi, saya reda dengan apa yang berlaku kepada anak-anak saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital itu, di sini hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi dilaporkan kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.
Mengulas lanjut, Nurain berkata, dia juga sedih melihat keadaan anak bongsunya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang sedang bertarung nyawa dan masih dalam keadaan kritikal.
“Saya tak boleh tengok keadaan adik macam ini, nanti dia seorang macam mana. Adik dalam koma, seksa dia, saya tak pasti lagi keadaan dia macam mana, tunggu jawapan doktor,”katanya.
Nurain memberitahu, anak sulungnya itu merupakan seorang yang amat manja dengannya.
“Dia memang manja sebelum ini. Kalau saya nak pergi kerja, dia akan menangis. Tetapi, Sabtu lepas dia tidak menangis sewaktu saya mahu pergi kerja.
“Dia hanya melambai-lambai (ke arah) saya ketika saya naik motosikal dan pegang adiknya sahaja,” katanya yang memberitahu, kedua-dua anak lelakinya itu juga amat rapat dan mereka sering bermain bersama-sama.
Dalam pada itu, Nurain berkata, ibu kepada pemilik kebun yang juga jiran mereka ada menelefonnya kira-kira pukul 10 malam semalam.
“Ibu kepada pemilik kebun telefon dan meminta maaf. Katanya, anak lelaki dia letakkan racun itu. Saya pun kata, tak apalah, benda dah berlaku. Kita pun tak tahu nak kata apa lagi, kita cuma harap benda baik sahaja,” katanya.-UTUSAN










