GEORGE TOWN : Dua beradik, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang termakan keropok mengandungi racun tikus kelmarin masih dalam keadaan kritikal.
Ketika ini, kedua-duanya masih dalam keadaan koma dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.
Ibu kepada dua beradik tersebut, Nurain Hasnorizal, 25, berkata, doktor yang merawat kedua-dua anaknya itu sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan anak-anaknya kembali pulih.
“Pada masa ini, abang (Muhammad Akil Syauqi) paling kritikal sebab badannya tidak boleh memberi tindak balas manakala si adik (Muhammad Luth) pula, tekanan darahnya masih stabil dan kedua-dua mereka masih lagi dirawat. Harapan saya agar mereka dapat sembuh segera. Saya reda dengan takdir yang telah berlaku,” katanya ketika ditemui di HPP, di sini hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi dilaporkan kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim, Kedah.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut makan makanan itu yang digantung di lokasi kejadian berdekatan rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi mengesahkan kejadian dan katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Nurain berkata, dia masih belum memikirkan tindakan yang akan diambil terhadap pemilik kebun tersebut iaitu jiran mereka yang dipercayai telah menggantung keropok mengandungi racun tikus itu pada pagar.
“Saya tidak fikir nak buat apa. Sekarang ini, saya hanya fikirkan anak-anak, mungkin selepas anak sihat, saya akan buat keputusan. Saya akan bincang dengan keluarga selepas ini (mengenai tindakan selanjutnya). Saya serah kepada keluarga,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini keropok yang diletakkan racun memang ada diletakkan di kawasan kebun berkenaan, namun, ia diletakkan di bahagian belakang kebun tersebut.
“Monyet memang banyak di kawasan tersebut, sekarang pula musim buah-buahan jadi mungkin pemilik kebun letakkan keropok yang ada racun bagi mengelakkan monyet memusnahkan kebun.
“Tetapi kali ini pemilik letakkan keropok yang ada racun di bahagian depan kebun pula,” katanya.-UTUSAN








