JOHOR BAHRU: Ahli keluarga kanak-kanak yang diculik, Albertine Leo Jia Hui, 6, tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kelima-lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, ibu bapa kanak-kanak itu juga tidak mengenali suspek kelima iaitu lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis kerana disyaki melari dan mengurung mangsa di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, kelmarin.
“Setakat ini, tangkapan kekal lima orang. Reman empat daripada mereka akan tamat esok, jika tiada keperluan mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis manakala reman suspek terakhir tamat pada 29 Julai.
“Namun siasatan masih diteruskan sama ada kelima-lima suspek mengenali satu sama lain.
“Motif penculikan dan hubungan antara kelima-lima suspek juga masih dalam siasatan. Persoalan berkaitan baju tertera logo festival yang dipakai suspek kelima, ia sebenarnya boleh dibeli di festival itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.
Namun Kumar memberitahu, masih terlalu awal untuk mengatakan siasatan berkaitan kes penculikan itu telah lengkap kerana pihaknya masih menyiasat pelbagai aspek lain.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabtu lalu, Jia Hui dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya semasa Festival Bon Odori yang berlangsung di Eco Galleria, Iskandar Puteri. – UTUSAN










