KUALA LUMPUR: Surat tuntutan (LOD) daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) ke atas The Edge berhubung laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah ditarik balik.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, ini kerana pihak kementerian tidak bersetuju dengan tindakan HRD Corp yang mahu menyaman media susulan laporan akhbar itu..
“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak setuju sama sekali dengan tindakan untuk menyaman media. Sebab saya percaya dengan kebebasan media di negara ini. Ini merupakan prinsip saya sebelum menjadi kerajaan.
“Apabila kita mendapat maklumat tentang perkara itu, saya telah mengarahkan HRD Corp untuk menarik balik saman tersebut. Sukacita saya ingin maklumkan bahawa saman tersebut telah ditarik balik semalam sebelum PAC membuat sidang media,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beberapa minit sebelum itu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menuntut HRD Corp menarik balik LOD yang dikeluarkan kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan itu berhubung laporan mengenai PAC dan Ketua Audit Negara.
Kata Steven, tindakan menyaman itu seolah-olah percubaan memberi tekanan kepada media untuk tidak menyiarkan laporan PAC berhubung syarikat itu.
“Yang paling penting, PAC melihat tindakan HRD Corp ini sebagai suatu usaha untuk melemahkan atau menjejaskan kredibiliti PAC.
“Pengurusan tertinggi HRD Corp perlu diingatkan bahawa PAC telah ditubuhkan pada tahun 1959 dan kesemua laporan PAC tidak pernah dipertikaikan kerana kesemua laporan yang dikemukakan adalah berdasarkan kenyataan saksi-saksi yang dipanggil semasa prosiding PAC,” katanya.- UTUSAN










