KUALA LUMPUR: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meninggalkan pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) selepas kira-kira enam jam memasuki bangunan tersebut.
Kesemua pegawai terbabit dilihat meninggalkan bangunan terbabit dengan satu troli pada pukul 5.45 petang.
Mereka turut dilihat membawa tiga kotak dipercayai mengandungi sejumlah dokumen berkaitan HRD Corp yang dikaitkan dalam laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024
Terdahulu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan pegawai SPRM telah hadir di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Putrajaya dan HRD Corp di Jalan Beringin di sini untuk mendapatkan dokumen-dokumen untuk siasatan.
Beliau berkata, fokus siasatan adalah tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.
“Setakat ini belum ada saksi yang dirakam percakapan tetapi SPRM tidak menafikan akan memanggil saksi-saksi dalam masa terdekat selepas semakan dokumen dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Seramai 10 individu dipercayai pegawai penyiasat SPRM tiba di pejabat HRD Corp di Jalan Beringin di sini.
Lima pegawai yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu tiba pada pukul 11.30 pagi menaiki dua kenderaan berasingan.
Kemudian, lima lagi individu dalam kenderaan berasingan tiba pada 12.20 tengah hari.
Difahamkan, kehadiran kesemua pegawai penyiasat itu bagi mengambil dokumen berkaitan isu kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu. – UTUSAN









