IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam perlu terbuka untuk berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam bagi memastikan kedua-dua pihak dapat memahami dan menerima antara satu sama lain.
Perdana Menteri berkata, orang Islam hari ini tidak boleh mengetepikan penglibatan bangsa dan agama lain dalam membincangkan apa-apa perkara.
Beliau menegaskan, perbincangan mengenai agama, budaya dan tamadun lain adalah perlu bagi membentuk persefahaman terutama dalam konteks negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.
“Kita juga perlu melihat diri kita apabila bercakap tentang ketamadunan. Sebab itu saya mahu usaha dibuat untuk melibatkan pihak lain.
“Bagaimana hendak bertahan dan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama seperti Malaysia dan mengelakkan berbincang dengan agama, budaya dan tamadun lain.
Kemudian menuntut Barat untuk memahami kita,” katanya pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 yang berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, semalam.
Anwar berkata, masalah yang membelenggu masyarakat pada hari ini adalah kerana sikap tidak mengambil peduli, sekali gus menerbitkan perasaan negatif dan penolakan terhadap kumpulan lain yang berbeza latar belakang.
“Kita anggap kita tahu (memahami orang lain), tetapi sebenarnya tidak,” katanya yang turut menyatakan penyebaran istilah Islamofobia juga muncul disebabkan sikap sedemikian.
“Saya fikir usaha melibatkan semua diperlukan untuk membolehkan orang lain memahami kita dan kita memahami orang lain,” katanya.
Perdana Menteri melihat penganjuran WCIT 2024 oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) merupakan antara medan terbaik untuk mengetengahkan isu-isu tersebut bagi menilai keadaan semasa dan mencari penyelesaian.
Sementara itu, dalam majlis berasingan, Anwar turut menyentuh mengenai pengawalan terhadap kebebasan penyebaran maklumat.
Katanya, meskipun tidak popular, kerajaan masih melihat kepada pengawalan terhadap kebebasan penyebaran maklumat untuk memastikan ia tidak disalahgunakan dalam masyarakat.
Menurut beliau, langkah itu mungkin tidak menepati kumpulan yang percaya kepada hak kebebasan untuk bersuara.
Namun jelasnya, kebebasan itu kadangkala mengabaikan kesan kepada masyarakat termasuk bagaimana ia boleh menyebabkan seseorang mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat dibuli dalam sistem penyebaran maklumat.
“Kita berdepan situasi perkembangan maklumat. Kerajaan sekarang menghadapi cabaran untuk cuba memperkenalkan beberapa sekatan yang tidak popular,” katanya semasa berucap pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) yang Ke-7 yang berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini semalam. – UTUSAN










