Had laju di kawasan sekolah diturunkan ke 30km/j

Had laju di kawasan sekolah diturunkan ke 30km/j

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menurunkan had laju di kawasan sekolah dari 40 kilometer sejam (km/j) kepada 30km/j berikutan peningkatan risiko kemalangan di kawasan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya pengguna yang berisiko tinggi iaitu golongan kanak-kanak.

Kata beliau, statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, kemalangan di sekolah pada tahun lalu melibatkan 322 kes kecederaan termasuk kematian.

“Mengenai had laju di kawasan sekolah, purata kematian di sekolah adalah sebanyak 67 (orang) setiap tahun. Apa yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMMJR) adalah menurunkan had laju.

“(Had laju akan) diturunkan kepada 30 km/j di kawasan sekolah dan bonggol (akan) disediakan tanpa melibatkan peruntukan tambahan dari mana-mana kementerian tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sekolah boleh bekerjasama untuk lakukannya,” katanya semasa sidang media di Pusat Kawalan dan Perintah Kuala Lumpur (KLCCC).

Turut hadir,  Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Kadar semasa had laju adalah pada 40 km/j yang secara relatifnya berdasarkan dapatan kajian antarabangsa, sekiranya kelajuan dikurangkan 1km/j akan dapat mampu mengurangkan empat hingga lima peratus kematian.

Jika purata kelajuan dapat dikurangkan sehingga lima peratus, ia berupaya mengurangkan risiko kemalangan maut sebanyak 30 peratus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JKMKKJR berkata, satu pasukan petugas perlu diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan had laju 30km/j lebih berkesan.

“Pasukan petugas diwujudkan bagi menetapkan jangka masa yang sesuai, mengenalpasti zon mula dan tamat serta mewartakan had kelajuan di kawasan sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN