SHAH ALAM: Kegiatan haram kumpulan penjenayah yang aktif mencuri kabel bawah tanah Telekom Malaysia (TM) sejak setahun lalu tumpas dengan tertangkapnya 14 individu di sekitar Ampang dan Klang, baru-baru ini.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita dan seorang lelaki warga asing berusia 17 hingga 54 tahun itu diberkas secara berasingan antara Jumaat lalu hingga semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan pertama melibatkan suspek menaiki sebuah pacuan empat roda membawa muatan kabel dalam keadaan mencurigakan di Bulatan Hillview, Ampang, pukul 5.20 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, lelaki itu dicekup selepas bertindak memecut laju kenderaan dan terjun bagi meloloskan diri selepas dikejar anggota polis bermotosikal.
“Pacuan empat roda itu yang dinaiki dua suspek lain kemudian terbabas selepas melanggar palang tol di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
“Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian berjaya melarikan diri daripada kenderaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Jelasnya, hasil maklumat polis bagaimanapun berjaya menahan seorang lagi suspek di Taman Hillview pada hari sama.
“Ia kemudian membawa kepada penahanan enam lelaki dan tiga wanita tempatan di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang, kelmarin.
“Selain itu, tiga lelaki termasuk seorang warga asing diberkas di Kampung Baru Telok Gong semalam dan dua daripadanya pembeli kabel curi tersebut,” ujarnya.
Malah, siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan kabel bawah tanah TM dengan memotong dan menariknya menggunakan pacuan empat roda.
“Mereka disyaki terlibat dalam sembilan kes curi kabel di Ampang Jaya, Shah Alam dan Melaka dengan nilai kerugian RM205,000.
“Polis turut merampas barangan antaranya 76 batang kabel, tiga mesin gerudi dan satu mesin kimpal yang dipercayai digunakan kumpulan penjenayah tersebut,” katanya.
Tambah Hussein, sembilan suspek memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










