SABAK BERNAM: Kerajaan negeri akan memutuskan tindakan untuk dikenakan terhadap kilang plastik yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran bau di Sungai Kuang, Sungai Kundang dan Sungai Sembah sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri akan bermesyuarat pada malam ini bagi memutuskan tindakan tersebut menerusi perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan.
“Kita akan maklumkan tindakan yang akan diambil pada sidang akhbar selepas mesyuarat malam ini. Kita juga akan maklumkan tindakan susulan sekiranya masih belum mencapai 0 TON,” katanya selepas melawat Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor Kawasan Pasir Panjang, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahan pencemar berjadual, Poly Methacrylic Acid (PMAA) dari tangki kilang terbabit menjadi punca tiga batang sungai tercemar sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3.
Tambahnya, Izham memaklumkan kerajaan negeri akan memeriksa status kilang tersebut, sama ada ia mempunyai lesen atau tidak, namun tindakan sewajarnya diambil bagi mengelak pencemaran berleluasa termasuk meletakkan beg karbon aktif (AC).
Jelasnya, air turut dilepaskan dari Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi bagi melarut dan mempercepat aliran efluen dari kawasan LRA.
“Yang pastinya, mereka (kilang terbabit) akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 yang kita buat sebelum ini.
“Sekiranya bacaan TON air berada pada paras 0, baru kita buka semula operasi itu,” ujarnya. – UTUSAN










