PETALING JAYA: Banyak kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur berdepan gangguan bekalan air berikutan empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas kerana pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Empat LRA berkenaan ialah LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Jelasnya, senarai kawasan yang terjejas akan dikongsi dalam masa terdekat.
“Air Selangor sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada pengguna dan bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https:// www.airselangor.com/,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN









