Dua wanita ditemukan mati dalam kereta akibat gas helium - Polis

Dua wanita ditemukan mati dalam kereta akibat gas helium – Polis

BEBERAPA anggota polis membawa keluar barang kes termasuk sebuah tong gas kecil selepas selesai proses bedah siasat dua mayat wanita yang dijumpai mati dalam sebuah kereta di Bukit Mertajam petang kelmarin. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis mengesahkan kematian dua wanita yang dijumpai terkunci dalam sebuah kereta di Taman Seri Rambai di sini petang kelmarin berpunca daripada terhidu gas jenis helium.

Ia susulan proses bedah siasat yang dijalankan terhadap kedua-dua mangsa di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ), semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pada masa yang sama, pihaknya tidak menemukan sebarang senjata atau peralatan lain di lokasi yang boleh mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur jenayah.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR buat masa ini.

“Kedua-dua si mati merupakan rakan karib dan laporan mengenai kehilangan mereka telah dibuat oleh waris pada 5 Julai lalu,” katanya di sini.

Dalam kejadian petang kelmarin, mayat dua wanita itu dijumpai dalam keadaan sudah berbau dalam sebuah kereta jenis Honda WRV dan berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari berdasarkan kepada keadaan mayat ketika dijumpai.

Sementara itu, jenazah kedua-dua wanita berusia 25 dan 30 tahun itu sudah dituntut ahli keluarga masing-masing kira-kira pukul 2 petang semalam selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Abang salah seorang mangsa ketika ditemukan berkata, dia bergegas datang dari Seremban, Negeri Sembilan selepas mendapat tahu berita tersebut.

Lelaki itu yang enggan namanya disiarkan berkata, mangsa berusia 32 tahun, merupakan anak keempat daripada lima beradik dan kali terakhir dia bertemu dengan adiknya itu kira-kira dua minggu lalu.

“Adik datang ke Pulau Pinang (untuk bercuti) bersama seorang lagi rakannya berusia 25 tahun. Berita ini agak mengejutkan kerana dia tidak beri apa-apa tanda sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Mengulas lanjut, lelaki itu memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan selepas anggota polis menghubungi salah seorang adiknya semalam.

“Jenazah akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dijalankan,” katanya yang memaklumkan, adiknya bertugas sebagai seorang penjawat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×