GEORGE TOWN : Demi tanggungjawab terhadap keluarga termasuk menjaga ibu yang terlantar akibat kanser, Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, 20, pernah menolak tawaran menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meskipun memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.
Anak sulung daripada empat beradik itu sebaliknya memilih untuk menyambung pengajian di Tingkatan Enam bagi memudahkan dia menguruskan ibunya selain menjaga ketiga-tiga orang adiknya termasuk si bongsu yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana memiliki kecacatan pada bahagian kaki.
Muhammad Adam berkata, ketika menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) pula, dia masih berbelah bahagi kerana berada di persimpangan antara cita-cita dan tanggungjawab selaku ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia akibat Covid-19, lima tahun yang lalu.
Justeru katanya, dia hanya bertawakal kepada Allah sementelah mengenangkan keadaan adik-adiknya ketika itu yang masih belum mampu untuk berdikari sepenuhnya.
“Alhamdulillah, perancangan Allah itu amat sempurna. Walaupun sedih kerana ibu telah pergi pada 24 Ogos lalu, tapi, Allah lancarkan segala urusan saya dan saya akhirnya berada di sini (USM),” katanya ketika ditemui semasa sesi kemasukan pelajar baharu untuk Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi Sidang Akademik 2026/2027 universiti itu, hari ini.
Jelasnya, ketika ini, dia bersyukur kerana adik bongsunya iaitu Muhammad Ashraf Iskandar, 16, sedang mengikuti kursus dalam bidang kemahiran kulinari di bawah program pendidikan khas manakala seorang lagi adiknya iaitu Nur Aleesya Syafiyah, 17, pula kini sedang membuat persiapan untuk menduduki SPM.
Sementara itu, Muhammad Adam berkata, seorang lagi adiknya iaitu Nur Alya Syafiah, 19, pula kini berada di Kuala Lumpur dan dijaga oleh salah seorang daripada ibu saudaranya selepas didiagnosis menghidap penyakit genetik berkaitan kanser yang dipercayai diwarisi daripada arwah ibu mereka.
“Saya bersyukur kerana kami dikelilingi oleh ramai orang baik walaupun selepas kehilangan kedua ibu bapa kami. Alhamdulillah, mereka semua adalah kekuatan kami agar kami tidak terlalu bersedih dengan kehilangan ini,” katanya.
Tambah Muhammad Adam, dia juga sentiasa mengingatkan adik-adiknya akan kepentingan ilmu dan berharap agar mereka mampu berdikari sepanjang ketiadaannya nanti.
“Saya beritahu adik-adik supaya jaga diri baik-baik kerana arwah mak sudah tiada dan saya juga akan berada jauh dari mereka selepas ini. Saya nasihatkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh kerana tanpa ilmu, kita bukanlah sesiapa,” katanya.-UTUSAN










