Dua suspek pecah rumah pemain Selangor FC diberkas di Terengganu - Utusan Malaysia

Dua suspek pecah rumah pemain Selangor FC diberkas di Terengganu

Pecah rumah
HUSSEIN Omar Khan ditemui pemberita dalam sidang akhbar dekat Dewan Mes Pegawai Kanan, IPK Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kes pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee selesai dengan tertangkapnya dua suspek dekat Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di Marang, Terengganu, baru-baru ini.

Kedua-dua lelaki tempatan berusia 23 dan 28 tahun itu diberkas selepas kereta Honda City dinaiki mereka terlibat kemalangan di lokasi berkenaan pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan berterusan dan pemeriksaan lanjut turut menemukan sebahagian barangan curi yang berada di dalam kereta tersebut.

“Barangan yang berjaya dirampas antaranya sejumlah beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, motosikal dan beberapa peralatan lain yang semuanya dianggarkan berjumlah RM55,000.

“Hasil saringan air kencing ke atas dua suspek didapati positif dadah dan mereka direman seminggu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan kediaman Ahmad Khuzaimi atau Jimmy dipecah masuk individu tidak dikenali di sekitar daerah ini, selepas disedarinya kira-kira pukul 9 malam, 22 Mei lalu.

Beliau yang selesai menjalani latihan bola sepak mendapati pintu pagar depan rumahnya terbuka dan kehilangan barangan berharga termasuk motosikal Yamaha Y15.

Tambah Hussein, siasatan mendapati dua suspek turut terlibat dalam kes samun dan pecah rumah di beberapa lokasi lain sekitar Selangor, Terengganu, Pahang dan Melaka.

“Mereka dipercayai bergerak secara ‘mobile’ di negeri tersebut untuk melakukan jenayah tersebut termasuk melarikan kenderaan mangsa sejak awal tahun ini.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes melibatkan pemain SFC yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan, polist turut menumpaskan sindiket pecah rumah dan curi kenderaan mewah dikenali Geng K-Boy dengan penahanan tujuh suspek, baru-baru ini.

“Lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Johor antara 25 Jun hingga kelmarin.

“Kereta yang dirampas antaranya jenis Audi, Porsche dan Volkswagen selain beberapa peralatan bagi jenayah itu. Mereka yang memiliki rekod jenayah lampau itu direman sehingga esok bagi siasatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN