LANGKAWI: Dua pekerja sangkar ikan masing-masing warga tempatan dan Indonesia ditahan dipercayai akibat positif dadah jenis Methamphetamine ketika operasi bersepadu di perairan Kilim, di sini semalam.
Kedua-dua mereka berusia 30 dan 39 tahun ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Langkawi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 pagi dalam operasi yang bertujuan untuk membanteras aktiviti melanggar undang- undang di perairan negara.
“Operasi disertai 13 pegawai dan anggota ini dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti maritim terutamanya yang bekerja di laut.
“Dua suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine itu kini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini. -UTUSAN










