KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak perlu mengajar cara orang lain bekerja dalam keadaan keadaan dia sendiri didakwa gagal melaksanakan peranannya sewaktu menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan sewaktu Pakatan Harapan mentadbir negara.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan kenyataan Guan Eng yang membidas keputusan Kementerian Pendidikan berhubung garis panduan sumbangan dana sekolah.
“Guan Eng tidak perlu ajar Menteri Pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi menteri pun gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tuan Ibrahim dalam masa yang sama berkata, kenyataan Guan Eng dilihat seolah-olah kerajaan perlu menuruti apa yang ditetapkan oleh DAP.
“Apakah Guan Eng ingin mengajar YB Menteri Pendidikan bahawa mempromosikan arak di pekarangan sekolah itu baik buat murid walaupun kepada murid yang bukan Islam?
“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak di pekarangan sekolah?” soalnya.
Semalam, Guan Eng mengingatkan Menteri Pendidikan supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas, malah menegaskan dia bukan ‘Menteri Pendidikan Pas’.
“Komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara kutipan dana pendidikan Cina agak keras. Saya harap dia akan mempertimbang semula pendiriannya itu.
“Beliau bukan Menteri Pendidikan Pas, beliau mewakili Pakatan Harapan, Kerajaan Perpaduan dan seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Ia antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.
Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert. – UTUSAN










