PASIR SALAK: Walaupun digantung keahlian parti, bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilihat hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itudi Dewan Besar Changkat Lada di sini hari ini.
Tajuddin, yang digantung keahlian parti selama enam tahun, pada mulanya duduk di luar dewan selama kira-kira 15 minit.
Beliau kemudiannya masuk ke dalam dewan semasa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang merasmikan mesyuarat, berucap.
Tajuddin dilihat duduk di bahagian belakang bersama beberapa individu mendengar ucapan perasmian Mohamed Khaled dan Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun.
Tajuddin berada di dalam dewan selama kira-kira 45 minit dan dilihat bersalam dengan Mohamaed Khaled sebelum meninggalkan dewan.
Sementara itu, mengenai usul Wanita UMNO Pasir Salak minggu lalu yang mahu penggantungan keahlian Tajuddin ditarik balik, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO.
“(Usul) Itu proses Bahagian. Bahagian akan pertimbangkan dan Majlis Tertinggi akan bincangkan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Minggu lalu, Wanita UMNO Pasir Salak meluluskan usul supaya penggantungan keahlian parti yang dikenakan terhadap Tajuddin ditarik balik.
Ketua Wanita UMNO Bahagin, Datuk Seri Rahayu Tajuddin berkata, penarikan penggantungan keahlian Tajuddin, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak akan memperkukuhkan UMNO bahagian itu.
Katanya, penarikan balik penggantungan Tajuddin akan memberi kelegaan kepada penyokong setianya dan memperkukuhkan UMNO bahagian.
Tajuddin yang digantung keahlian selama enam tahun sudah mengemukakan rayuan dan mahu kembali aktif dalam parti.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Perlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. – UTUSAN










