Calon PRK Nenggiri: Rundingan masih terbuka

Calon PRK Nenggiri: Rundingan masih terbuka

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Calon yang bakal diketengahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan masih terbuka untuk rundingan antara Pas dan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) memandangkan Pas juga mempunyai potensi di kerusi berkenaan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas lebih bersedia jika dipilih bertanding di kawasan itu dan beliau percaya rundingan bagi pemilihan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) tersebut bukan isu besar yang boleh membawa kepada sebarang perpecahan.

Katanya, kedua-kedua parti di dalam gabungan PN tersebut ada hak untuk berunding.

Ujarnya, kawasan DUN Nenggiri sebelum ini diwakili calon Bersatu yang menggunakan lambang Pas atas persetujuan PN.

“Saya rasa perkara ini (calon) terbuka untuk rundingan antara Pas dan Bersatu. Kita yakin pimpinan tertinggi dua parti ini akan atasi perkara tersebut.

“Ikut pertimbangan dan kesediaan parti-parti masing-masing siapa yang dilihat lebih layak untuk diketengahkan sebagai calon. Pas juga sentiasa bersedia jika diberi peluang mengetengahkan calon di Nenggiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Bersatu akan meletakkan calon bersesuaian untuk bertanding pada PRK bagi kerusi DUN Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pihaknya bersedia mengenal pasti dan memilih calon terbaik untuk mewakili parti bagi kerusi DUN tersebut.

Kata Pengerusi PN itu, keputusan untuk meletakkan calon itu sudah dibuat sebelum ini memandangkan kerusi tersebut milik Bersatu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri, Kelantan itu jatuh pada 17 Ogos depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.

Tambah Hashim, PRK itu menjawab persoalan di Kelantan jika mana-mana ADUN lompat parti akan tergugur jawatan sebagai wakil rakyat sekali gus membawa kepada PRK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN