PUTRAJAYA: Empat bekas pelajar kolej terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman gantung kerana membunuh pensyarah mereka, Zara Eleena Omar Peter, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menggantikannya dengan hukuman penjara dan turut memerintahkan mereka dikenakan 12 kali sebatan.
Tiga daripadanya iaitu Mohamad Sharafe Matt Noh, 30, Azizi Aizat Ibrahim, 32, dan Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 32, dikenakan hukuman penjara 37 tahun kerana membunuh Zara Eleena dan bapanya Omar Peter Abdullah.
Bagaimanapun, rakan mereka Mohamad Safwan Muhamad, 31, dipenjara 32 tahun kerana membunuh pensyarah berkenaan yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Keempat-empat mereka yang merupakan bekas penuntut Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics disabitkan membunuh Zara Eleena, 23, yang mengajar bahasa Inggeris di kolej itu antara 1.30 pagi dan 2.30 pagi pada 9 Mac, 2012.
Omar Peter, 56, pesara sebuah syarikat kewangan, pula dibunuh di antara 11.30 malam, 8 Mac 2012, dan 1.30 pagi hari berikutnya.
Mereka dituduh melakukan pembunuhan itu di No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.
Peguam-peguam Abdul Rashid Ismail dan Ramzani Idris memohon semakan itu dibenarkan kerana anak guam mereka telah insaf dan kini mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan ketika di penjara.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya K. Roshan membantah semakan itu atas alasan mereka yang ketika itu masih muda tergamak merompak Zara Eleena yang merupakan pensyarah di kolej berkenaan.
Pihak pendakwaan turut memohon hukuman gantung dikekalkan kerana ketiga-tiganya membunuh Omar Peter dengan menekup mulut dan hidungnya dengan bantal. – UTUSAN








