BN nafi tidak benarkan Rafizi berceramah di PRK Nenggiri

BN nafi tidak benarkan Rafizi berceramah di PRK Nenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan empat pemimpin termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hadir berceramah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

BN dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu disifatkan sebagai permainan politik untuk memecah belahkan perpaduan dalam kerajaan sekarang.

“Sesungguhnya segala kenyataan media rasmi hanya akan disiarkan di laman Facebook rasmi BN sahaja dan diharap semua tidak termakan dengan mainan politik seperti ini tiap kali pilihan raya berlangsung.

“Semoga semua pihak terus bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu seperti ini lagi dan lagi sekali segala kenyataan media rasmi hanya di laman Facebook ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan media palsu bertarikh 24 Julai menggunakan nama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyenaraikan nama empat individu kononnya tidak dibenarkan tampil di PRK Nenggiri kerana mengambil iktibar kekalahan di PRK Sungai Bakap.

Selain Rafizi, tiga nama lain ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain dan seorang pempengaruh dikenali sebagai Wan Hadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala hari mengundi ditetapkan pada 17 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN