Bersatu bawa isu kekosongan kerusi ke mahkamah

Bersatu bawa isu kekosongan kerusi ke mahkamah

MOHAMED Azmin Ali berucap pada Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi dekat Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, malam semalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju mengambil tindakan undang-undang menerusi peruntukan Perlembagaan terhadap enam bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu tidak sesekali mengalah walaupun kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San.

“Kita akan mengheret mereka (Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu) ke muka pengadilan untuk diputuskan oleh mahkamah.

“Saya percaya mahkamah akan membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang,” kata beliau ketika berucap pada Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi, malam semalam.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu, semakan di peringkat mahkamah dibuat bagi memastikan kerusi dikosongkan dan mandat rakyat dipulangkan semula menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kepada Dr. Zulkafperi Hanafi (Ahli Parlimen Tanjong Karang), kalau kamu ada maruah, tolong kosongkan kerusi sebelum mahkamah buat keputusan.

“Kamu menang kerana rak­yat dan jentera di bawah yang bekerja membantu kamu. Kamu tidak tunduk kepada amanah rakyat, maka tanggungjawab kami untuk mengheret kamu ke muka pengadilan,” kata beliau.

Malah, Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang mendakwa kerajaan Perseku­tuan dan Selangor sedang ber­de­pan krisis Perlembagaan yang teruk.

“Tanggungjawab kita adalah mempertahankan perlembaga­an dan mempertahankan undang-undang negara dan negeri.

“Apa yang berlaku sebahagian Ahli Parlimen, ADUN termasuk Speaker, mereka bukan penjaga kepada perlembagaan tetapi me­ngambil keputusan bercanggah dengan undang-undang negara dan Selangor,” katanya.

Tambah beliau, rakyat perlu bangkit kerana tidak mungkin mendapat keadilan dan pem­belaan jika kerajaan tidak berlandaskan undang-undang serta negara hukum.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan mana-mana parti yang mempunyai keanggotaan dalam DUN berhak mengemukakan usul kepada mahkamah bagi membuat tafsiran berkenaan kekosongan ke­rusi.

Enam bekas ahli parlimen Bersatu sebelum ini dilaporkan kekal sebagai wakil rakyat selepas parti berkenaan menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi (Tanjong Karang).

Selain itu, kerusi DUN Selat Klang kekal milik Datuk Abdul Rashid Asari selepas Speaker Selangor, Lau Weng San memutuskan tiada bukti mencukupi bagi mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN