MEKAH: Situasi di Lubnan ketika ini masih selamat meskipun sentiasa berdepan dengan ugutan daripada pihak rejim Israel yang cuba menyerang negara itu pada bila-bila masa.
Perkara itu disahkan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob serta menegaskan belum ada keperluan untuk pemindahan keluar rakyat negara ini dari sana.
“Ramai mungkin tidak tahu bahawa ancaman Israel bukan perkara baharu, malahan sudah banyak kali gertak itu diulang rejim Tel Aviv,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ahad lalu, tujuh negara mengeluarkan arahan yang menggesa rakyat mereka agar segera meninggalkan Lubnan ekoran kebimbangan perang antara Israel dan Hezbollah.
Sementara lima negara menerbitkan memo nasihat perjalanan kepada penduduk mereka supaya mengelak daripada melakukan sebarang pengembaraan tidak perlu ke Lubnan.
Ia susulan ketegangan yang melonjak di sepanjang sempadan Lubnan dan Israel dengan siri serangan rentas perbatasan antara pejuang Hezbollah dan askar penceroboh Tel Aviv.
Mengulas lanjut, Azri menambah, keadaan di Lubnan sebenarnya masih berjalan seperti biasa dengan aktiviti harian normal penduduk yang menggambarkan tiada risiko besar.
“Justeru, pihak Kedutaan Besar Malaysia berpendapat bahawa tidak ada apa-apa pelan untuk kami meninggalkan Lubnan atau terpaksa menutup canseri buat masa ini,” jelasnya.
Kedua-dua negara menjalinkan diplomatik secara rasmi sejak 1965 dan canseri Malaysia di Lubnan juga ditauliahkan untuk Cyprus, sebuah negara pulau kecil di Laut Mediterranean.
Menyentuh warga Malaysia di negara Asia Barat itu, beliau memaklumkan bilangan mereka yang mendaftar diri dengan kedutaan seramai 22 orang.
Angka itu ujar Azri, tidak termasuk 850 anggota dan pegawai Batalion Malaysia (Malbatt) yang bertugas dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Kumpulan pengaman tersebut ditempatkan di dua kem sektor barat iaitu Marakah dan Tibnin, agak jauh dari kawasan sempadan dengan Israel. – UTUSAN










