SHAH ALAM: Bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Abdul Majid Omar diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor sempena sambutan Maal Hijrah
1446H/2024M peringkat negeri, malam ini.
Pengumuman itu dilakukan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan penganugerahan itu kepada Abdul Majid selepas menunaikan solat bersama rakyat selain bacaan doa dan ceramah Maal Hijrah.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mohd. Shahzihan berkata, Abdul Majid, 84, memulakan pengajian tinggi pada 1979 di Universiti Nasional Indonesia (UNAS) dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan.
Jelas beliau, selepas berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah, anak kelahiran Kampung Kuantan, Kuala Selangor itu turut terlibat dalam pentadbiran hal ehwal Islam dengan mengakhiri kerjayanya sebagai Timbalan Mufti Selangor pada 2015.
“Selepas 17 tahun menyumbang bakti, beliau meneruskan agenda kecintaan ilmunya dengan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Islam Malaysia (UIM) pada 2019 dan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Selangor (Unisel) dalam bidang Pentadbiran Wakaf tahun lalu.
“Pencapaian dan jasa beliau juga antaranya menjadi Tokoh Guru Kebangsaan dan Selangor selain pernah dilantik sebagai Penasihat Syariah pelbagai syarikat konglomerat besar,” katanya ketika mengumumkan penganugerahan itu.
Menurut Mohd. Shahzihan, Abdul Majid disifatkan seorang agamawan dan pendakwah yang gigih membangunkan ummah menerusi penulisan dan kuliah agama di masjid, surau dan di stesen media penyiaran.
“Antara penulisan beliau yang menjadi rujukan sekitar 90-an adalah buku Panduan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) Pendidikan Islam, Kitab Solat Panduan Komprehensif Mengikut Mazhab Syafie dan beberapa penulisan terbitan JAIS.
“Beliau turut menulis ratusan teks khutbah dan 150 daripadanya berjaya melepasi piawaian Jawatankuasa Teknikal Khutbah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk dibaca di seluruh masjid negeri ini,” ujarnya.
Tambah beliau, Abdul Majid juga tunjang utama beberapa program dakwah merentas sempadan apabila mengetuai lawatan dakwah pelajar Islam ke United Kingdom, India, Mesir, Arab Saudi dan terakhir ke Jepun pada 2020. – UTUSAN










