PETALING JAYA: Bekas Ketua Hakim Negara kesembilan, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah telah meninggal dunia pada usia 86 tahun, malam tadi.
Menurut laporan Free Malaysia Today, perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Nadjihah.
Ujarnya, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital dua hari lalu akibat komplikasi jantung.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail esok pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Mohamed Dzaiddin dilahirkan di Arau, Perlis pada 16 September 1937.
Sebelum menceburi bidang perundangan, beliau pernah bekerja sebagai wartawan di akhbar Malay Mail daripada 1956 hingga September 1957.
Allahyarham kemudian menyertai pasukan polis dengan pangkat Inspektor di dalam Cawangan Khas.
Beliau kemudian menyambung pengajiannya dalam bidang perundangan pada 1962.
Mohamed Dzaiddin kemudian berkhidmat sebagai peguam sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Oktober 1982 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Agong pada 18 Disember 1992.
Allahyarham mula berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Mohd. Eusoff Chin pada 20 Disember 2000 sehingga 14 Mac 2003.
Pada 4 Februari 2004, Mohamed Dzaiddin telah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong sebagai pengerusi Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.
Pada 30 April 2005, satu laporan yang turut dikenali sebagai Laporan Dzaiddin diserahkan kepada Kerajaan.
Ia mengandungi 125 cadangan termasuk penubuhan sebuah badan yang dipanggil Suruhanjaya Aduan dan Salah laku Polis Bebas (IPCMC). – UTUSAN










