KUALA TERENGGANU: Seorang bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipenjara 43 tahun kerana menembak mati rakan baiknya dan cuba membunuh anak saudara mangsa, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu hari ini selepas Ong Chow Lee, 60, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya itu.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian rakan baiknya, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang.
Chow Lee turut didakwa melakukan cubaan membunuh dengan niat menyebabkan kematian kepada anak saudara mangsa, Teo Hock Beng, yang ketika kejadian berusia 45 tahun.
Mengikut fakta kes, ketika hari kejadian tertuduh yang meminum beberapa botol arak dan dalam keadaan mabuk tiba-tiba mengamuk lalu menembak mati mangsa menggunakan senapang patah.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bangsal Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara pukul 1.20 sehingga 1.55 petang pada 23 Julai 2021.
Bagi kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), tertuduh dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 13 tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 KK.
Mahkamah bagaimanapun mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkapan iaitu pada 23 Julai 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd. Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili Mohd. Azlan Shah, Abdul Hayyi Salim dan Diyana Ibrahim.
Dalam kejadian tiga tahun lalu, media melaporkan seorang lelaki maut manakala anak saudaranya cedera parah selepas ditembak disyaki menggunakan senapang patah di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang.
Mangsa yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang yang cedera di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudaranya, Hock Beng cedera parah. – UTUSAN










